Friday 6 September 2013


3 beradik, rakan hadapi 67 tuduhan curi






GEORGE TOWN – Tiga beradik dan seorang rakan mereka, yang berdepan 67 pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan serta memiliki barang curi, mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen dan dua Mahkamah Majistret di sini semalam.
Di Mahkamah Sesyen 1, Mohammad Fairuz Samsuri, 27, bersama-sama dua adiknya, Mohammad Firdaus, 25, dan seorang lagi yang masih di bawah umur serta rakan mereka Mohamed Yaser Yacobpu Ghani, 21, didakwa merompak seorang warga emas berusia 69 tahun serta dua warga asing di Lorong Sungai Dua Gelugor pada pukul 2 pagi hingga 3 pagi 4 Ogos lepas.
Hakim Khairul Anuar Abdul Halim membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesalahan berkenaan.

Ketua kongsi gelap masih aktif



KUALA LUMPUR – Polis telah menahan 4,806 orang sehingga pukul 6 pagi semalam sejak Ops Cantas Khas dijalankan 17 Ogos lalu di seluruh negara bagi membanteras kongsi gelap dan individu yang terbabit dengan jenayah berat.
Mereka yang ditahan itu hasil daripada pemeriksaan ke atas 122, 255 individu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan (gambar kecil) berkata, dalam operasi itu, sebanyak 221 senjata turut dirampas termasuk senjata api dan senapang angin buatan sendiri.

Pekebun getah merusuh di Thailand



BANGKOK - Kejatuhan harga getah di pasaran dunia mendorong beratus-ratus pekebun getah bertempur dengan pasukan keselamatan dalam tunjuk perasaan di selatan Thailand, kata beberapa pegawai semalam.
Mereka turut membakar kereta sehingga memaksa polis menembak gas pemedih mata dalam kekacauan terbaharu di wilayah bergolak itu.
Lebih 24 anggota polis cedera manakala 11 pemimpin penunjuk perasaan ditangkap dalam demonstrasi di wilayah Prachuap Khiri Khan kelmarin.
Komander polis wilayah, Mejar Jeneral Thanet Soonthornsuk berkata, dua kenderaan media dibakar dalam pertempuran yang tercetus selepas lebih 400 pekebun getah menghalang laluan di sebuah lebuh raya utama menghala ke selatan Thai.
"Seramai 23 anggota polis cedera dengan dua daripada mereka parah akibat dipukul di kepala dengan batu," katanya.
Menurut Thanet, kumpulan penunjuk perasaan itu turut membaling cuka getah ke arahnya.
Thailand merupakan pengeksport getah asli utama di dunia.
Kemarahan pekebun getah itu mencetuskan cabaran baharu kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra selepas dua tahun mentadbir negara.
Sejak beberapa hari lalu, beratus-ratus pekebun getah yang berang bertindak menutup beberapa batang jalan dan landasan kereta api kerana membantah kejatuhan harga getah global yang menjejaskan periuk nasi mereka.
Wilayah berkenaan merupakan kubu kuat pembangkang Thailand, Parti Demokrat.
Kerajaan Yingluck setakat ini menolak tuntutan untuk menstabilkan harga getah pada paras 120 baht (RM12.30) sekilogram iaitu 50 peratus lebih tinggi daripada harga semasa di pasaran dunia.
Beliau sebaliknya berkeras menawarkan bayaran sebanyak 1,260 baht (RM129.25) untuk setiap 0.4 hektar tanah milik pekebun getah bagi membantu menampung kos pengeluaran di samping mewujudkan dana meningkatkan kecekapan dalam pemprosesan getah.
Namun, tawaran tersebut ditolak oleh penunjuk perasaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri, Pracha Promnog berkunjung ke selatan Thai lewat semalam untuk menemui pemimpin-pemimpin penunjuk perasaan itu.



"Kami akan berdialog dengan mereka di semua peringkat," katanya kepada wartawan tanpa mendedahkan sama ada kerajaan telah bersedia untuk bertolak-ansur atau sebaliknya.
Thailand digugat dengan beberapa episod kekacauan sejak beberapa tahun lalu melibatkan protes jalanan yang diadakan oleh penyokong dan penentang bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.
Thaksin ialah abang kepada Yingluck.
Pada tahun 2010, demonstrasi selama dua bulan di Bangkok oleh kumpulan Baju Merah yang pro-Thaksin disertai 100,000 penunjuk perasaan sebelum gerakan mereka dipatahkan oleh tentera.
Lebih 90 orang dengan kebanyakannya orang awam terbunuh semasa tunjuk perasaan itu. Hampir 1,900 lagi cedera dalam pertumpahan darah politik terburuk di Thailand sejak beberapa dekad lalu.

Tiba masa untuk tunjuk belang
Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@ kosmo.com.m
y


 













PENGENDALI skuad Harimau Muda A, Ong Kim Swee menegaskan, kini sudah tiba masa buat anak-anak buahnya menterjemah ilmu yang dipelajari sepanjang lebih tiga bulan ‘berguru’ di Eropah.

Menurut Kim Swee, misi pertama buat skuad Harimau Muda bermula petang ini apabila menentang skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Singapura dalam aksi pertama kejohanan Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.Kata Kim Swee, bagaimanapun beliau terlebih dahulu terpaksa membuat keputusan sukar apabila perlu menggugurkan tiga pemain daripada senarai awal 25 pemain bagi melengkapkan kuota 22 pemain untuk didaftarkan pada kejohanan edisi ke-41 ini.“Saya terpaksa menggugurkan tiga pemain iaitu Muhd. Ramadan Abd. Rahman, Mohd. Riduan Abdunloh Pula dan Wan Ahmad Amir Zafran Wan Nadris bagi melengkapkan senarai 22 pemain.“Saya menganggap perlawanan dengan Singapura sebagai pertemuan menarik dan agak sukar buat kita. Singapura yang sebahagian besarnya terdiri daripada pemain skuad Lions XII yang muncul juara Liga Super baru-baru ini.

“Mereka mempunyai kelebihan kerana telah bergabung sejak awal tahun serta bermain dalam satu pasukan dalam saingan Liga Malaysia,” kata Kim Swee pada sidang akhbar di Kuantan semalam.Selain itu, Kim Swee juga menuntut semangat juang yang tinggi dalam kalangan pemain Harimau Muda dalam aksi pertama tersebut serta tidak terikut-ikut rentak pemain lawan.Ujarnya, berdasarkan pengalaman mengendalikan skuad B-23 negara itu, mereka cenderung untuk mengikut rentak lawan yang akhirnya memakan diri.“Jika bertemu pasukan handal, mereka akan bermain baik manakala jika bertemu pasukan lemah, mereka akan turut mengikut rentak lawan itu.“Saya harap mereka akan berubah kali ini dan bermain mengikut perancangan yang telah saya lakukan. Saya sedar Singapura akan menurunkan barisan terbaiknya dan saya anggap penyerang Singapura, Hariss Harun sebagai pemain yang perlu dirantai,” katanya.Kim Swee berkata, beliau percaya dengan barisan yang dimilikinya kali ini ditambah dengan kehadiran beberapa tonggak pasukan negeri seperti Nik Shahrul Azim Ab. Halim (Kelantan), Mohd. Nazmi Faiz Mansor (PKNS), Putera Nadher (Sarawak) dan Zubir Azmi (Terengganu).Menurutnya, kejohanan Pestabola Merdeka kali ini juga merupakan pentas terbaik untuk persediaan skuad negara dalam misi mengekalkan pingat emas dalam Sukan SEA di Myanmar, Disember ini.

Perlawanan antara Malaysia dengan Singapura akan berlangsung pada pukul 5.30 petang ini manakala Thailand bakal berentap dengan Myanmar pada pukul 8.45 malam.